Friday, January 14, 2011

Usrah Peringkat Kampus - Satu Keluarga, Satu Suara...

Majlis Perwakilan Nuqaba' Universiti Industri Selangor (MPN UNISEL) dengan kerjasama Pusat Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, dan Pusat Islam UNISEL telah merangka Kursus Pengurusan Organisasi dan Pengendalian Usrah yang dijalankan pada 15 - 16 Januari 2011. Program yang berkampung selama 2 hari di Masjid Umar Abdul Aziz UNISEL bertujuan untuk mendidik ahli MPN UNISEL bergerak sebagai sebuah 'keluarga' yang matang dan profesional selain melatih ahli untuk mengendalikan slot usrah di peringkat Kampus Bestari Jaya.

Penerapan konsep 'Satu Usrah' bakal menjadikan ahli-ahli MPN UNISEL terus teguh untuk menyerlah di tengah-tengah kecelaruan minda dan akhlak mahasiswa bagi membentuk sebuah Kampus UNISEL yang sejahtera, berkebajikan, dan dirahmati Allah s.w.t. Dengan perancangan teliti Majlis Syura MPN, dan dibantu generasi pendakwah yang berkomitmen tinggi, UNISEL bakal membangun sebagai sebuah Institusi yang mampu menjana kualiti modal insan dengan berpaksikan sumber rujukan utama - Al-Quran.

Tahniah dan Syabas diucapkan kepada MPN UNISEL yang telah mampu menggerakkan usrah di peringkat Kampus, dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang membantu serta menyokong perjuangan mulia ini. Jasa dan usaha anda sangat mulia wahai para pejuang, semoga usia anda diberkati dan hidup anda diredhai Allah...

 Wahai ANGKATAN KINI!
Tak lama lagi engkau akan kembali pulang, memberi laporan kepada Tuhan, mempertanggungjawabkan segala amal, jasa dan karyamu di dunia. Tinggalkan tugasan ini kepada generasi muda yang akan datang mengganti.
Hidupkan dinamik dan ketenteraan muda Islam, yang akan menggantikan kamu setelah kamu tiada, yang akan meneruskan perjuangan yang belum selesai ini. Janganlah kamu hendak hidup seperti pohon beringin besar, yang ingin hidup sepanjang abad dan tidak memberi kesempatan kepada tunas-tunas baru tumbuh dan menguntum di sekelilingnya.
Risalah dan amanah ini tidak akan selesai di tangan engkau sendiri!
Susun dan sediakan tenaga baru, yang berbakat dan berkepimpinan, yang akan melanjutkan perjuangan ini dengan segala keyakinan dan keperwiraan.
Tahukah engkau, salah satu sebab dan kelemahan umat Islam ialah tiadanya atau kurangnya pelapis yang berwatak, pelapis pemikir, dan pejuang yang sanggup menggantikan angkatan lama? Tulang dan tenagamu yang sudah semakin lemah, sisa umurmu telah semakin kurang memesankan kepadamu supaya mencari ganti di hari kini.

Wahai ANGKATAN BARU!
Siapkan dirimu untuk menggantikan angkatan lama, mereka akan pulang tidak lama lagi. Janganlah engkau membuat kekeliruan lagi seperti pernah dilakukan oleh angkatan yang engkau gantikan. Teruskan perjalanan ini dengan tenaga dan kakimu sendiri, dada bumi cukup luas menerima kehadiranmu.
Penuhilah secebis usia ini dengan kegiatan dan ketekunan, bersungguh tanpa mengharap balasan. Tidak cukupkan syurga sebagai motivasi buatmu?
Hadapilah tugas yang berat ini dengan jiwa yang besar, dengan daya juang api semangat yang nyalanya kuat dan keras.
Pupuklah Ruhul-Jihad, semangat revolusi, radikal dan progresif dalam jiwamu, dan bertindaklah sebagai pemimpin dengan perhitungan yang nyata dan pertimbangan yang matang.
Perkayakan dirimu dengan meneladani masa silam, di mana ada yang rebah dan ada yang bangun, ada yang jatuh dan terus berdiri lagi. Kamu tidak boleh menjadi ‘plagiator’ angkatan lama, dan tidak boleh pula menepuk dada serta meniadakan segala harga dan nilai, jasa dan karya angkatan lama.
Mereka kaya dengan pengalaman, engkau kaya dengan cita-cita.
Padukanlah pengalaman angkatan lama dengan nyala citamu!
Sejarah ini telah lama berjalan, bergerak dan berkembang. Kamu hanyalah tenaga penyambung menyelesaikan tugasan yang belum selesai, meneruskan pekerjaan besar peringkat demi peringkat, angkatan demi angkatan.
Jalan hidup ini adalah ibarat gelombang di lautan, menghempas yang satu, menyusul yang lain, memecah yang pertama, datang yang kedua.
Sedarilah posisi dan fungsimu dalam sejarah, dan lakukanlah tugas suci ini dengan pengertian, keyakinan dan kesabaran!
Insafilah kedaulatanmu sebagai pemuda pemudi angkatan baru, yang hendak menggantikan pemimpin lama. Tidaklah sama dan serupa antara kedua angkatan zaman itu, kerana sejarah manusia sentiasa menurut hukum dinamika.
Jaga dan peliharalah jangan sampai ‘jambatan’ ini runtuh, agar hubungan kita tidak pernah terputus.
Salam Perjuangan buat anda semua...

No comments: