Friday, March 23, 2012

Selamat menghadapi peperiksaan buat Mahasiswa/si Universiti Selangor
" Ma'attaufiq wannajah"




Tuesday, March 13, 2012

Karnival Kokurikulum

Pusat Kokurikulum akan menganjurkan Karnival Kokurikulum pada:

Tarikh    : 17 Mac 2012
Hari        : Sabtu
Masa     : 7.30 pagi – 10.00 malam
Tempat  : Pusat Sukan (IPIS) dan Masjid Unisel

Antara program yang dijalankan:

                   Pertandingan Bola Sepak
                   Pertandingan Bola Jaring
                   Pertandingan drama / nasyid / kebudayaan
                   Jualan
                   Forum Imam Muda

Semua pelajar kokurikulum (ZKU 1112 dan HKU 1111) adalah diwajibkan untuk menyertai program ini mengikut tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah. Bagi pelajar ZKU 1112, sila rujuk pautan (ZKU 1112 / HKU 1111) pada blog ini untuk mengetahui kumpulan pertandingan anda. Turut disertakan pada ruangan tersebut;

                Format Kertas Kerja
                Kumpulan Pertandingan Bola Sepak dan Bola Jaring
                Kumpulan pertandingan persembahan / perniagaan

MPN UNISEL 2012...

Majlis Perwakilan Nuqaba’ Universiti Selangor (MPN UNISEL) telah merangka dan menggerakkan banyak program / aktiviti di dalam dan luar kampus. Pada semester ini (2/2011/2012), MPN UNISEL telah mula bekerja sejak awal pembukaan semester bagi merangka gerak kerja sepanjang semester. Walaupun ada beberapa program yang tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan masa dan kesibukan dengan aktiviti lain, namun MPN UNISEL terus memacu ke hadapan dalam usaha untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mantap dari aspek sahsiah diri (spiritual). Berikut merupakan senarai aktiviti semester ini yang digerakkan oleh MPN UNISEL:

  • Menghadiri Program Santai Anak Muda bersama GeMS di Masjid Shah Alam (1 bas) – Ceramah Ust Azhar Idrus sempena tahun baru Masihi. (Jemputan daripada GeMS)
  • Mengendalikan Karnival Khair Al-Ummah pada 15 – 18 Februari 2012 di Universiti Selangor dan mengendalikan program Amal Islami dan sukan air (berkayak) bersama Kelab Mahasiswa Pengajian Islam (KMPI) dan kumpulan nasyid Nur I See Unisel.
  • Mengendalikan Usrah Kampus bagi subjek ZKU 1112. Antara gerak kerja yang dilaksanakan:
o   Kendalikan kelas Kokurikulum pada hari Rabu
o   Slot Persediaan Amali Solat
o   Amali Wuduk, Solat, dan Bacaan
o   Slot ‘Ini Sejarah Kita’
  •  Mengendalikan Karnival Kokurikulum
  • Mengendalikan Program Bersama 3 Imam Muda sempena Karnival Kokurikulum
  • Mengendalikan Program bersama Imam Muda – Khutbah Jumaat dan Imam (2 kali)
  • Membantu gerak kerja Program UniSmart 2012– Fast Track SPM
  • Menggerakkan Kumpulan Tutor (MPN TUTOR) di bawah Exco Pendidikan MPN UNISEL bagi mengadakan kelas pembelajaran tambahan kepada pelajar-pelajar UniSmart 2012. Kelas diadakan pada waktu malam (selepas Isyak) selama 2 jam bagi subjek-subjek seperti Matematik Tambahan, Matematik, Bahasa Inggeris, dan Bahasa Arab. Subjek teras yang lain juga diajar pada waktu-waktu yang disediakan mengikut jadual.
  • Mewujudkan kumpulan nasyid muslimat pertama di bawah Unisel.
  • Membantu melancarkan lagi program-program di bawah Masjid Unisel / Pusat Islam Unisel seperti Kursus/Seminar/Program dan sebagainya.
  • Menggerakkan program usrah mingguan (PESAT) pada setiap hari Rabu malam (selepas Isyak).
  • Mengadakan perjumpaan antara Persatuan Islam Kampus bersama Pengarah Pusat Kokurikulum UNISEL bagi membincangkan pelan gerak kerja Usrah Kampus dan kepentingan usrah dalam organisasi.

MPN UNISEL masih merangka beberapa program yang bermanfaat bagi membuka minda dan mengukuhkan rohani mahasiswa agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dan dalam masa yang sama terus komited dalam usaha menuntut ilmu pengetahuan agar menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Kami barisan kepimpinan MPN UNISEL akan terus berusaha untuk membentuk suasana kampus yang sejahtera dan terus menjana modal insan yang berkualiti.

MPN PRESS


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
MPN  dan Nur I See Menjadikan Masjid Sebagai Pusat Gerakan

MPN UNISEL dan Kelab Nasyid Nur I See telah diberikan sebuah bilik gerakan khas yang bertempat di Masjid Universiti Selangor. Dengan berpusat di Masjid, MPN dan Nur I See dapat sentiasa mengimarahkan Masjid Unisel dan dalam masa yang sama melancarkan lagi gerak kerja organisasi. Semoga dengan kemudahan yang diberikan oleh Pusat Islam dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua ahli majlis, jawatankuasa kerja MPN dan juga Kelab Nasyid Nur I See...

MPN Unisel sejak awal penubuhannya telah menjadikan Masjid sebagai pusat gerakan utama organisasi, malah hampir keseluruhan aktiviti dan perancangan MPN dilaksanakan di Masjid Unisel. MPN juga sentiasa mendapat kerjasama erat daripada Pusat Islam Unisel dan juga Bahagian Hal Ehwal Pelajar Unisel. Jalinan kerjasama ini membolehkan MPN bergerak lebih pantas dan lancar walaupun hanya dianggotai oleh sebilangan kecil ahli majlis yang dilantik melalui sistem syura.

Dengan harapan untuk menjadikan masjid sebagai 'One Stop Center', MPN Unisel dan Nur I See kini  bersatu menggembleng tenaga bagi memperbanyakkan lagi aktiviti di Masjid khususnya yang berkaitan dengan pembangunan sahsiah diri. Gerak kerja MPN Unisel juga banyak dibantu oleh Kelab Mahasiswa Pengajian Islam (KMPI) yang sentiasa memberikan kerjasama positif dalam menjayakan setiap perancangan bersama. Semoga Terus Maju.

MPN PRESS

Thursday, October 13, 2011

Mencari Ketenangan Hati

 Bismillahirrahmanirrahim

Allah ya Robbi, syukur yang tidak terhingga kerana kita masih menikmati kehidupan ini dan keindahan cakarawela ini yang penuh dengan kebijaksanaan_Nya, Melihat kehijauan alam yang sungguh mengindahkan dan mendamaikan jiwa, memberi satu ketenangan yang abadi, bahkan menambah lagi rasa kecintaan kita pada-Nya atas nikmat-Nya yang tidak terhingga. Sedikit perkongsiaan melalui seorang penulis yang tersohor iaitu Ustaz Pahrol Mohd Juoi semoga bermanfaat untuk kita bersama...


Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang.
Ada orang berkata, "ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?"

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli).

Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan. Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli.

Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af'al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

Dimensi Kata, Rasa Dan Tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi "hadiah" kepadanya. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..." (Surah At Tahrim: 8)
Firman Allah lagi:
"... Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri." (Surah Al-Baqarah: 222)

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita?
Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
Rasa kehambaan. Rasa bertuhan. Memahami maksud takdir. Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.
Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Rasa Kehambaan
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
"Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman." (Surah At Taubah: 51)

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita "memberontak" hati akan bertambah kacau.

Imam Ghazali pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah "memberontak" kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya.

Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu "demonstrasi" seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji. Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja' – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
"...Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali." (Surah Al-Baqarah: 156)

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja'?
Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Rasa Bertuhan
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan. Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah.

Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, "la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!" Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa.

Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.
Firman Allah:
"Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat." (Surah Al-Baqarah)
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
"Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana." (Surah Al-Fath: 4)

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: "Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan." – Al Hadis

Memahami Maksud Takdir Allah
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can't direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita adalah hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
"Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah : 216)

Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, "barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang." Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan... mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: "Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik."
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih "kerja Tuhan" yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: "It's not what happens to you, but it's what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!"

Mendapat Hikmah Bila Diuji
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh "mehnah" – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda, "perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!"
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji. Firman Allah: "Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" (Surah Al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: "Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah."

Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.



Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat... hanya berada di dalam hati sendiri!

Wednesday, October 12, 2011

Kerana DOA

Bismillahirrahmanirrahim


Alhamdulillah dalam kesibukkan kita sebagai mahasiswa  kita juga tetap berjiwa hamba, alhamdulillah masih dapat menikmati keindahan Islam dan nikmat iman dalam diri kita. Allahurobbi, alhamdulillah kerana nikmat kasih sayang-Nya masih bernafas di bumi ini. Sedikit perkongsian bersama untuk kembali bermuhasabah diri.

Kerana Doa

Melangkah jauh tanpa arah dan tujuan
Bumi nan subur ini
Ku rasakan gersang
Di dalam terang kegelapan
Seakan ku hanyut di daratan
Ku ingin pulang kepangkalan
Pabila mata hati dan minda terbuka
Bertandang keyakinan terhakis curiga
Putaran masa pasti menemukan
Jarak dan ruang bukan sempadan 
Tuhanku teramat penyayang
Aku tahu
KAU selalu bersamaku
TAk sesaat KAU biarkan ku keseorangan
Tak sesaat pintaku jadi bebanan
Ku percaya kerana doa bertitian
Tiap waktu
Dengan izin-MU
Ku kembali ke pangkalanku
Tak sesaat KAU  biarkanku keseorangan
Tak sesaat pintaku jadi bebanan
Ku percaya diri ini memerlukan
Ku percaya doaku yang mengeratkan

By Brothers

Begitulah indahnya kasih sayang-Nya yang tidak pernah putus untuk hambanya, tidak mengira siapakah diri itu, sifat Rahman-Nya sentiasa melimpah ruah. Ketika pelayaran jauh menyimpang, ingatlah jalan pulang tetap ada dan sentiasa ada, cuma mungkin kabut tebal membatasi segalanya, tetapi itu bukannya alasan, kitalah yang berhak mengusir kabut itu agar berlalu pergi, doalah senjata kita dalam menghilangkan kabut itu, jangan biar ia menghalangi jalan pulang kita, kerana cahaya menanti dihadapan, matahari tidak pernah jemu memancarkan cahayanya.

Sedarlah dari mimpi kita yang panjang dan kelam itu, dunia hanya persinggahan matlamat utama menuju cinta-Nya, benar bukan mudah mengharungi pelayaan ini seorang diri, tapi yakinlah DIA bersamamu, pilihlah sahabat, kawan dan teman yang dapat membantu mu untk terus berjuang dalam pelayaran ini, bukannya mereka yang membawa ke lorong gelap. Pilihan bersamamu, buatlah dengan akal yang bijaksana dibancuh bersama nurani kehambahan. Ingatlah sebesar-besar karamah adalah memegang istiqomah ( Syeikh Al-Islam Ibnu Taimiyah) . Kuatkan jiwa mu, kentalkan semangat mu dalam mengharungi pelayaran ini bersama istiqomah.



Pandulah pelayaran ini, dengan secebis rasa keinsafan dan rasa tawaduk dalam jiwa hamba, ingatlah dari mana asal usul kita dan ke mana akhirnya diri kita, janganlah dunia yang pana ini menghambat jiwa kita yang rapuh ini, kerana itu, mari bersama bertemu-Nya di sepertiga malam. Benar DIA lah yang layak membolak balikkan hati hambanya, berdoalah moga hidayah-Nya memayungi diri kita.

Sunday, October 9, 2011

Teman Sejati

Bismillahirrahmannirrahim.


Biiznillah...Alhamdulillah bertemu lagi dalam ruangan blog ini, telah lama rasanya tidak menulis diruangan ini, al-maklum masa kian diuji dan dihambat dengan jadual kuliah yang betul-betul agak sesak dalam bulan ini, kerana final exam kian menghampiri kita semua, dalam pada itu sekeping hati ini ingin sahaja menjerit atas kesesakan itu, namun jiwa hamba bersuara lantas beristigfar panjang, inilah ujian kita sebagai mahasiswa andai jiwa itu rapuh maka sedihlah jiwa itu, tapi alhamdulillah jiwa itu masih lagi berjiwa hamba. Terima kasih yang tidak terhingga jua pada sahabat-sahabat yang tidak jemu-jemu memberi nasihat. Teringat semasa baru menjejaki kaki sebagai mahasiswa terasa sedih dan pilu menhimpit jiwa bila berjauhan dengan sahabat-sahabat sefikrah dan kini berjuang pula di kampus tercinta ini...

Teringat sebuah kata-kata agung dari ulama tersohor ; " Hiduplah dengan kehidupan sebagaimana hidupnya kehidupan itu sendiri dengan kebahagian dan kerelaan yang membuat anda selalu hidup gembira " [ Dr. Aid Abdullah Al-Qarni dalam bukunya LaTahzan"]. Indah dan halusnya nasihat beliau menusuk Qalbu dan mengusik jiwa. Malahan Allah s.w.t juga dalam kalam-Nya " Jangalah kamu bersedih , sesungguhnya Allah selalu bersama kita [ At-Taubah : 40 ]" Kesedihan itu, hanya akan memadamkan api motivasi, membunuh roh semangat dan membekamkan jiwa, kesedihan adalah merupakan sahabat akrab kecemasan, janganlah bersedih, kerana di sana banyak jalan meringkan musibah. Terpacu kembali semangat di hujung tanduk, menjadi segar semula bagai bayi yang baru lahir. Diayun langkah yang tadinya lemah menjadi bergelegak menuju kejayaan indahnya sebuah perjuangan itu, walaupun badai dan ombak sentiasa menghampiri, tetapi kitalah yang layak memujuk diri kita untuk terus kuat melangkah.
 
Bagi manusia yang hatinya hidup sudah tentunya, ia tidak akan membiarkan perjalanan yang panjang ini menjadi sempit dan kusut dengan membiarkan hatinya dikuasai oleh syaitan yang sentiasa berusaha memperdayakan manusia... Indah bukan peringatan ini, jadi mari bersama mengajak jiwa dan hati disaat lemah dan rapuh kembali bersama bersinar seceria matahari memancarkan cahayanya, ketika bulan di malam hari bersinar megah menerangi malam yang kelam, sungguh indah bukan...
 
Bersyukur jua pada-Nya kerana dikurniakan insan-insan dan sahabat-sahabat yang tidak pernah jemu memberi nasihat, itulah indahnya sebuah persahabatan, apa yang tidak elok pada diri kita, cepat-cepat ia memperbetulkan itulah tanda kasih sayang seorang sahabat, peringatan dan tegurannya yang berhikmah menjadikan kita cair dan patuh pada tegurannya kerana semua itu untuk kebaikan kita bersama, tiada sahabat yang sanggup melihat sahabatnya jatuh di dalam perigi yang dalam, pastinya tangan dihulurkan sebelum sempat kita terjatuh, itulah indah persahabatan. Benar mencari teman sejati dalam perjuagan ini di bumi Universiti ini bukan mudah semudah menguyah coklat di dalam mulut rasanya manis tapi harnya sungguh mahal. Mari kita tanyakan pada ini adakah kita telah bertemu dengan teman sejati ? jawapannya ada pada diri anda.  Begitu indah bait lirik lagu ini ; 
 
Selama ini ku mencari-cari teman yang sejati
Buat menemani perjuangan suci
Bersyukur kini padamu Illahi
Teman yang dicari selama ini telah ku temui

Dengannya disisi perjuangan ini
Senang diharungi bertambah murni kasih Illahi
Kepada-Mu Allah ku panjatkan doa 
Agar berkekalan kasih sayang kita
Kepada mu teman ku pohon 
Sokongan, pergorbanan dan pengertian 

Telah ku ungkapkan segala-galanya
Kepada-Mu Allah ku pohon restu 
Agar kita kekal bersatu
Kepada mu teman teruskan perjuangan
Pergorbanan dan kesetiaan 
Itulah tanda kejujuran kita.

By Brothers { Teman sejati }