Sunday, January 30, 2011

Rombakan Jawatankuasa MPN Februari ini?

Bestari Jaya – Jawatankuasa Kerja MPN UNISEL bakal dirombak semula awal bulan Februari ini. Demikian kenyataan YDP MPN UNISEL, saudara Mohd Hafiz Zainuddin yang mahukan perjalanan gerak kerja MPN semakin lancar dan sistematik sebelum perlantikan ahli MT baru pertengahan Februari nanti. “Saya berharap agar MPN dapat merangka gerak kerja terbaik bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan usrah di peringkat kampus.” Beliau yang ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Pusat Kokurikulum UNISEL baru-baru ini berharap agar MPN UNISEL bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan pada masa akan datang.

Pastikan Segala Maklumat Telus dan Jelas - YDP

Bestari Jaya – “Pastikan segala maklumat adalah telus dan jelas.” Inilah pesanan tegas daripada YDP MPN UNISEL kepada semua ahli-ahli MPN. Beliau ditemui ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Usrah yang diadakan di bilik mesyuarat Pusat Islam UNISEL baru-baru ini. Katanya lagi, segala informasi yang dibincangkan di dalam mesyuarat adalah perlu untuk disampaikan kepada masyarakat kampus terutama ahli-ahli MPN sendiri agar mereka faham apa sebenarnya perancangan MPN untuk masa akan datang. Beliau mengulas kenyataan ini setelah dimaklumkan mengenai kesilapan maklumat yang disampaikan kepada ahli-ahli MPN yang lain sama ada secara lisan atau bertulis. “Penggunaan media seperti surat, facebook dan emel adalah bagus, tetapi saya menasihatkan semua pihak khususnya ahli MPN agar memastikan segala fakta itu adalah benar dan telus supaya tidak berlaku salah faham dan keciciran maklumat penting.”
Beliau juga menyarankan agar semua ahli yang terlibat secara langsung dalam pengendalian usrah kampus agar sentiasa menghadiri mesyuarat pengurusan yang diadakan pada setiap minggu bagi memastikan perjalanan usrah mingguan berjalan lancar dan teratur. Segala maklumat juga hendaklah dikemaskini dari semasa ke semasa agar gerak kerja MPN sentiasa selari dengan perancangan syura.

Sunday, January 23, 2011

Buang Bayi...???

       Saban hari semakin banyak kes pembuangan bayi yang disiarkan dalam pelbagai medium media. Zuriat yang dikandung bagai tidak berharga nyawanya apabila ibu yang mengandungkan sanggup membiarkan dan membuang bayi yang tidak berdosa itu. Apakah sudah hilang naluri keibuaan atau rasa bertanggungjawab seorang lelaki yang selayaknya menjadi bapa bayi itu?? Mungkin sahaja mereka lupa manusia itu lahir ke muka bumi Allah ini kerana wujudnya cinta dan kasih sayang tetapi hal ini jugalah yang sering disalah ertikan. Cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata yang mampu memesongkan hati dan hakikat sebenar kurniaan cinta itu kepada manusia. Sayang sekali kerana masalah pembuangan bayi ini adalah isu yang dikaitkan dengan remaja, pemuda-pemudi generasi harapan untuk memimpin negara. Oleh kerana terlalu mentah untuk memahami erti cinta ditambah pula godaan nafsu maka rosaklah diri. Berlakulah penzinaan dan seterusnya bila menyedari diri sudah mengandungkan benih hasil dosa yang dilakukan cepat-cepat sahaja jalan pintas diambil dengan membuang bayi tersebut. Dibungkus di dalam plastik, dicampak ke semak, dibakar itulah hasil yang diplih oleh mereka yang telah hilang perikemanusiaan ini untuk menamatkan riwayat bayi yang belum mengerti apa-apa itu.

" Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang sangat besar "    [Surah al-Israa' Ayat17: 31]

       Ayat di atas sudah terang-terangan memberikan peringatan betapa besarnya dosa membuang bayi apatah lagi membunuhnya. Hentikanlah dari berterusan menjerumuskan diri ke lembah hina dan dosa, jauhilah zina, jagalah batas pergaulan dan isu pembuangan bayi sudah pasti akan dapat dielakkan. Janganlah kita kembali kepada keadaan seperti zaman jahiliyah di mana manusia pada zaman tersebut tiada segan silu mengamalkan pergaulan bebas dan sanggup juga menzalimi bayi kecil ini dengan menanam mereka hidup-hidup. Sanggupkah kita kini hidup menjadi jahiliyah moden, Nauzubillah moga sahaja hal ini tidak akan menular menjadi barah pada diri umat manusia. Kembalilah bertaubat dan membentuk diri yang naïf untuk insaf pada jalan kebenaran Allah S.W.T dan selagi pintu-pintu taubat masih dibuka.


Bila Waktu Telah Berakhir

Bagaimana Kau Merasa Bangga
Akan Dunia Yang Sementara
Bagaimanakah Bila Semua Hilang Dan Pergi
Meninggalkan Dirimu

Bagaimanakah Bila Saatnya
Waktu Terhenti Tak Kau Sadari
Masihkah Ada Jalan Bagimu Untuk Kembali
Mengulangkan Masa Lalu

Dunia Dipenuhi Dengan Hiasan
Semua Dan Segala Yang Ada Akan
Kembali Padanya

Bila Waktu Telah Memanggil
Teman Sejati Hanyalah Amal
Bila Waktu Telah Terhenti
Teman Sejati Tingallah Sepi

     Memetik baris-baris lirik lagu Bila Waktu Telah Berakhir yang dipopularkan oleh Opick ini sebenarnya menyedarkan diri kita betapa kekuasaan Allah,qada’ dan qadar yang dijanjikan Allah itu adalah benar. Sampai pada masanya kita akan kembali Sang Pencipta dan hanya hitungan amal yang akan dibawa menjadi bekalan berharga menentukan syurga atau neraka menjadi tempat tinggal bila di akhirat kelak. Fenomenanya sekarang adakah umat manusia ini menyedari dunia kini adalah sangat menghampiri akhir zaman. Banyak hal-hal yang terjadi seharusnya sudah membuka mata hati tentang kebenaran kiamat kecil yang telah pun terjadi. Tragedi tsunami, ribut taufan dan letusan gunung berapi adakah tidak cukup memberikan peringatan?? Atau adakah kita ini sebenarnya menunggu apabila matahari sudah terbit di barat, Yakjuj dan Makjud muncul dan Dajjal mula menguasai bumi barulah kita benar-benar akan bertaubat. Astagfirullahalazim, semoga masih lagi ada ruang buat menginsafi diri. Beringatlah wahai umat manusia bahasawanya masa itu tidak akan pernah kembali bahkan semakin hari semakin meninggalkan kita.
     Cubalah kita kembali pada kisah yang berlaku pada zaman Rasullulah S.A.W. sewaktu baginda diangkat ke langit untuk bertemu dengan Allah S.W.T. Pada setiap lapisan langit yang sebanyak tujuh lapis itu baginda telah ditunjukkan dengan pelbagai peristiwa balasan pada umat manusia sama ada baik atau buruk bergantung pada amal mereka dan pada suatu tahap juga baginda telah dipertemukan dengan seorang wanita yang teramat tua dan terlalu bongkok badannya. Wanita itu adalah perumpamaan bagi usia dunia ini. Betapa dahsyatnya bayangan yang diberikan dan seharusnya kita mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Dunia ini hanyalah pinjaman daripada Allah semata-mata, bila tiba waktunya kembalilah kita kepada akhirat tempat paling hakiki.  


Saturday, January 22, 2011

MPN UNISEL ke KUIS...

Bangi : Seramai  26 ahli MPN UNISEL telah berkunjung ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 23 Januari 2011. Pertemuan dua hala ini dirancang bagi merangka strategi perlaksanaan usrah di peringkat kampus. KUIS yang telah menggerakkan usrah di peringkat kampus selama lebih 10 tahun yang lalu merupakan ‘senior’ kepada MPN UNISEL yang kini baru mencecah umur 1 tahun. YDP MPN UNISEL yang ditemui pada hari tersebut berkata, “Saya melihat KUIS sebagai contoh kepada UNISEL di dalam perlaksanaan usrah wajib di mana kita sedang menuju ke arah pembentukan sistem usrah yang lebih teratur dan berkesan.”
Pertemuan yang berlangsung lebih kurang 8 jam itu membuahkan hasil yang baik, dan beberapa resolusi kepada permasalahan yang timbul telah dapat diketengahkan. MPN UNISEL berharap agar hubungan yang terjalin ini akan terus kukuh dan bertambah erat. Tahniah kepada MPN KUIS dan MPN UNISEL!
-MPN PRESS-

Friday, January 21, 2011

22 Ahli Telah Ditauliah Untuk Mengendalikan Usrah

Bestari Jaya : Seramai 22 ahli Majlis Perwakilan Nuqaba’ Universiti Industri Selangor (MPN UNISEL) telah ditauliahkan sebagai fasilitator bagi mengendalikan subjek Kokurikulum ZKU 1112 bidang usrah di bawah kelolaan MPN UNISEL dan Pusat Kokurikulum. Perlantikan ini diluluskan oleh Pengarah Pusat Kokurikulum UNISEL, Ust Saedal Atas b Abd Ghani. MPN UNISEL telah pun melalui 2 semester yang lalu sebagai percubaan dan pada tahun ini MPN akan terus memperkemaskan strateginya untuk memastikan sistem usrah ini terus terlaksana dengan baik dan lancar.
Seramai lebih kurang 10 ahli MPN UNISEL yang lain pula bakal ditauliahkan sebagai pembantu fasilitator yang bakal menggantikan tugas utama fasilitator pada semester akan datang. “Kita sedia maklum bahawa sesetengah daripada ahli MPN belum bersedia untuk mengendalikan slot usrah ini, jadi inisiatif yang kita ambil adalah meletakkan mereka sebagai pembantu nuqaba’ agar mereka dapat mempelajari cara pengendalian usrah sebelum dilepaskan untuk berdikari pada semester akan datang.” – YDP MPN. Majlis Syura MPN juga kini sedang giat melaksanakan pelbagai perancangan bagi memastikan kesinambungan nuqaba’ dapat diteruskan.
YDP yang ditemui baru-baru ini menegaskan bahawa pentauliahan ini adalah untuk memudahkan gerak kerja agar lebih sistematik, selain memberi kebenaran kepada ahli untuk mengendalikan slot usrah dan juga memberi pemarkahan mengikut had yang dibenarkan. "Saya percaya ramai pihak akan mempertikaikan kredibiliti ahli MPN, tetapi bagi saya mereka adalah insan-insan yang terpilih, yang telah tampil ke hadapan untuk membantu dengan niat yang ikhlas insyaAllah. Kita memerlukan ahli yang ikhlas dan taat, yang ingin belajar dan mengajar. Pihak HEP dan Pusat Kokurikulum juga memberikan sepenuh kerjasama kepada MPN UNISEL agar segala gerak kerja berjalan dengan lancar."
MPN UNISEL kini sedang menjalankan kerjasama dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi memantapkan lagi perjalanan usrah di dalam kampus. Kerjasama dua hala ini bakal memperkemaskan lagi gerak kerja usrah dan tarbiyah dari segi perjalanannya, modul, dan juga kerjasama program. Selain KUIS, MPN UNISEL juga berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan gerakan Islam di Institusi Pengajian Tinggi seluruh Selangor.
-MPN PRESS-

Ahli berkomitmen dan berkualiti penggerak utama MPN -YDP MPN

Pusat Islam : MPN UNISEL yang kini mencecah umur 1 tahun sedang giat mempromosikan usrah dalam kalangan mahasiswa UNISEL. Terbaru MPN mensasarkan seramai 50 ahli baru bakal dilahirkan dan diserapkan ke dalam organisasi MPN pada masa akan datang bagi meneruskan usaha untuk menjana modal insan yang berkualiti. Sasaran ini sejajar dengan hasrat MT MPN yang menginginkan lebih ramai mahasiswa terlibat secara langsung dalam usaha penyebaran dakwah ini.
YDP MPN di dalam mesyuarat baru-baru ini berkata, “Kita akan lebih memerlukan ahli-ahli yang berkomitmen dan berkualiti berbanding kuantiti. Di dalam gerak kerja MPN, pengendalian usrah bukan semata-mata subjek, tetapi kita perlu melahirkan lebih ramai pelapis bagi menerajui gerak kerja ini. Tetapi ahli MPN perlu ingat, kita sedang mengendalikan usrah di bawah subjek wajib universiti, jadi pelajar hadir dengan terpaksa malah mungkin tidak rela sama sekali. Adalah menjadi tanggungjawab nuqaba’ untuk kreatif dalam menawan hati mereka melalui pelbagai pendekatan agar usrah kelihatan indah bagi mereka.” Kenyataan ini juga melengkapi prosedur gerak kerja MPN yang telah diwartakan di dalam Profil MPN 2011.

-MPN PRESS-

Wednesday, January 19, 2011

Adab Pergaulan...

1.Menundukkan pandangan

ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman-NYA;
Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an-Nuur: 30)

Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman;
Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an-Nuur: 31)]

2.Menutup Aurat;

ALLAH berfirman dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (an-Nuur: 31)

Juga Firman-NYA; Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (an-Nuur: 59).

Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis. Dari Abu Daud Said al-Khudri .a. berkata: Rasulullah SAW bersabda:
Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.

3.Adanya pembatas antara lelaki dengan wanita;

Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firman-NYA:
Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab. (al-Ahzaab: 53)
4.Tidak berdua-duaan Di Antara Lelaki Dan Perempuan;

Dari Ibnu Abbas .a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

5.Tidak Melunakkan Ucapan

(Percakapan):
Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT;
Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (al-Ahzaab: 32)

Berkata Imam Ibnu Kathir;
Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya. (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)

6.Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis;

Dari Maqil bin Yasar .a. berkata;
Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir)

Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain-lainnya. Dari Aishah berkata; Demi ALLAH, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat. (Hadis Riwayat Bukhari)

Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW; Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud)

Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana Firman-NYA;
Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk. (al-Isra: 32)

Saturday, January 15, 2011

Cabaran Wanita Muslim Masa Kini...


Dahulu, wanita dianggap sinonim dengan dapur dan anak,  tetapi kini peranan mereka sudah banyak berubah. Wanita islam  kini telah banyak menceburi pelbagai kerjaya dan profesion seperti  peguam, doktor, jurutera dan sebagainya. Wanita juga kini dilihat  sebagai simbol kelemahan, tidak berdaya dan kurang yakin dalam  membuat sesuatu keputusan penting. Golongan ini juga yang  sering ditindas kerana merasakan mereka tidak mampu melawan  dengan kudrat mereka. Kini, wanita yang bersifat lemah lembut  dan mengalah kepada lelaki sering menghadapi masalah  penderaan oleh golongan lelaki. Kejadian rogol, bunuh, dera  dan sebagainya adalah contoh yang teramat jelas menunjukkan  wanita kini teraniaya. Peruntukan undang-undang di negara  yang sedia ada seolah-olah tidak bersimpati dengan nasib yang  menimpa golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan.
Pertambahan bilangan ibu tunggal di negara kita semakin 
meningkat. Kebanyakan mereka adalah mangsa perceraian, 
gantung tidak bertali atau suami menghilangkan diri. Dengan 
status sedemikian, mereka menghadapi cabaran-cabaran dalam 
mendidik dan membesarkan anak-anak. Tanpa sokongan dan
bimbingan suami dalam keluarga menjadikan kebanyakan 
anak-anak kini menjadi semakin liar dan rosak kerana 
kekurangan kasih sayang dalam keluarga. Mereka kerap menjadi 
sasaran bila mana anak-anak tidak terdidik dengan sempurna. 
Masyarakat juga memandang sinis terhadap golongan ibu tunggal.
Wanita islam juga kini terlibat dalam aktiviti-aktiviti kurang 
sihat seperti pelacuran, penagihan dadah, pembuangan dan 
penderaan bayi dan lain-lain lagi. Ini adalah cabaran yang terpaksa
mereka hadapi apabila mereka tewas dengan kemewahan dan 
kesenangan. Atas kesempitan hidup, mereka sanggup menggadai 
maruah hanya kerana inginkan kehidupan yang lebih mewah. 
Inilah antara cabaran-cabaran wanita islam masa kini yang 
terpaksa mereka hadapi.
Kesimpulannya, wanita muslim seharusnya dibekali dengan  ilmu agama dan perlu mengetahui adab perhubungan dengan  kaum lelaki, hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan berkeluarga 
seperti hal perkahwinan,tanggungjawab suami dan isteri,  perhubungan ibu bapa dan anak-anak dan perhubungan
dengan saudara-mara yang lain serta peraturan hidup seharian 
dari segi pemakanan, berpakaian, pembelajaran, pekerjaan dan 
sebagainya. Paling utama sekali, wanita muslim perlu 
mempersiapkan diri mereka dari segi spiritual, mental dan 
fizikal ke tahap yang terbaik mungkin supaya mereka dapat 
menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang
untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, 
seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” 
(As-Saff: Ayat 4)