Sunday, January 23, 2011

Buang Bayi...???

       Saban hari semakin banyak kes pembuangan bayi yang disiarkan dalam pelbagai medium media. Zuriat yang dikandung bagai tidak berharga nyawanya apabila ibu yang mengandungkan sanggup membiarkan dan membuang bayi yang tidak berdosa itu. Apakah sudah hilang naluri keibuaan atau rasa bertanggungjawab seorang lelaki yang selayaknya menjadi bapa bayi itu?? Mungkin sahaja mereka lupa manusia itu lahir ke muka bumi Allah ini kerana wujudnya cinta dan kasih sayang tetapi hal ini jugalah yang sering disalah ertikan. Cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata yang mampu memesongkan hati dan hakikat sebenar kurniaan cinta itu kepada manusia. Sayang sekali kerana masalah pembuangan bayi ini adalah isu yang dikaitkan dengan remaja, pemuda-pemudi generasi harapan untuk memimpin negara. Oleh kerana terlalu mentah untuk memahami erti cinta ditambah pula godaan nafsu maka rosaklah diri. Berlakulah penzinaan dan seterusnya bila menyedari diri sudah mengandungkan benih hasil dosa yang dilakukan cepat-cepat sahaja jalan pintas diambil dengan membuang bayi tersebut. Dibungkus di dalam plastik, dicampak ke semak, dibakar itulah hasil yang diplih oleh mereka yang telah hilang perikemanusiaan ini untuk menamatkan riwayat bayi yang belum mengerti apa-apa itu.

" Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang sangat besar "    [Surah al-Israa' Ayat17: 31]

       Ayat di atas sudah terang-terangan memberikan peringatan betapa besarnya dosa membuang bayi apatah lagi membunuhnya. Hentikanlah dari berterusan menjerumuskan diri ke lembah hina dan dosa, jauhilah zina, jagalah batas pergaulan dan isu pembuangan bayi sudah pasti akan dapat dielakkan. Janganlah kita kembali kepada keadaan seperti zaman jahiliyah di mana manusia pada zaman tersebut tiada segan silu mengamalkan pergaulan bebas dan sanggup juga menzalimi bayi kecil ini dengan menanam mereka hidup-hidup. Sanggupkah kita kini hidup menjadi jahiliyah moden, Nauzubillah moga sahaja hal ini tidak akan menular menjadi barah pada diri umat manusia. Kembalilah bertaubat dan membentuk diri yang naïf untuk insaf pada jalan kebenaran Allah S.W.T dan selagi pintu-pintu taubat masih dibuka.


No comments: