Sunday, January 30, 2011

Pastikan Segala Maklumat Telus dan Jelas - YDP

Bestari Jaya – “Pastikan segala maklumat adalah telus dan jelas.” Inilah pesanan tegas daripada YDP MPN UNISEL kepada semua ahli-ahli MPN. Beliau ditemui ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Usrah yang diadakan di bilik mesyuarat Pusat Islam UNISEL baru-baru ini. Katanya lagi, segala informasi yang dibincangkan di dalam mesyuarat adalah perlu untuk disampaikan kepada masyarakat kampus terutama ahli-ahli MPN sendiri agar mereka faham apa sebenarnya perancangan MPN untuk masa akan datang. Beliau mengulas kenyataan ini setelah dimaklumkan mengenai kesilapan maklumat yang disampaikan kepada ahli-ahli MPN yang lain sama ada secara lisan atau bertulis. “Penggunaan media seperti surat, facebook dan emel adalah bagus, tetapi saya menasihatkan semua pihak khususnya ahli MPN agar memastikan segala fakta itu adalah benar dan telus supaya tidak berlaku salah faham dan keciciran maklumat penting.”
Beliau juga menyarankan agar semua ahli yang terlibat secara langsung dalam pengendalian usrah kampus agar sentiasa menghadiri mesyuarat pengurusan yang diadakan pada setiap minggu bagi memastikan perjalanan usrah mingguan berjalan lancar dan teratur. Segala maklumat juga hendaklah dikemaskini dari semasa ke semasa agar gerak kerja MPN sentiasa selari dengan perancangan syura.

No comments: