Friday, January 21, 2011

22 Ahli Telah Ditauliah Untuk Mengendalikan Usrah

Bestari Jaya : Seramai 22 ahli Majlis Perwakilan Nuqaba’ Universiti Industri Selangor (MPN UNISEL) telah ditauliahkan sebagai fasilitator bagi mengendalikan subjek Kokurikulum ZKU 1112 bidang usrah di bawah kelolaan MPN UNISEL dan Pusat Kokurikulum. Perlantikan ini diluluskan oleh Pengarah Pusat Kokurikulum UNISEL, Ust Saedal Atas b Abd Ghani. MPN UNISEL telah pun melalui 2 semester yang lalu sebagai percubaan dan pada tahun ini MPN akan terus memperkemaskan strateginya untuk memastikan sistem usrah ini terus terlaksana dengan baik dan lancar.
Seramai lebih kurang 10 ahli MPN UNISEL yang lain pula bakal ditauliahkan sebagai pembantu fasilitator yang bakal menggantikan tugas utama fasilitator pada semester akan datang. “Kita sedia maklum bahawa sesetengah daripada ahli MPN belum bersedia untuk mengendalikan slot usrah ini, jadi inisiatif yang kita ambil adalah meletakkan mereka sebagai pembantu nuqaba’ agar mereka dapat mempelajari cara pengendalian usrah sebelum dilepaskan untuk berdikari pada semester akan datang.” – YDP MPN. Majlis Syura MPN juga kini sedang giat melaksanakan pelbagai perancangan bagi memastikan kesinambungan nuqaba’ dapat diteruskan.
YDP yang ditemui baru-baru ini menegaskan bahawa pentauliahan ini adalah untuk memudahkan gerak kerja agar lebih sistematik, selain memberi kebenaran kepada ahli untuk mengendalikan slot usrah dan juga memberi pemarkahan mengikut had yang dibenarkan. "Saya percaya ramai pihak akan mempertikaikan kredibiliti ahli MPN, tetapi bagi saya mereka adalah insan-insan yang terpilih, yang telah tampil ke hadapan untuk membantu dengan niat yang ikhlas insyaAllah. Kita memerlukan ahli yang ikhlas dan taat, yang ingin belajar dan mengajar. Pihak HEP dan Pusat Kokurikulum juga memberikan sepenuh kerjasama kepada MPN UNISEL agar segala gerak kerja berjalan dengan lancar."
MPN UNISEL kini sedang menjalankan kerjasama dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi memantapkan lagi perjalanan usrah di dalam kampus. Kerjasama dua hala ini bakal memperkemaskan lagi gerak kerja usrah dan tarbiyah dari segi perjalanannya, modul, dan juga kerjasama program. Selain KUIS, MPN UNISEL juga berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan gerakan Islam di Institusi Pengajian Tinggi seluruh Selangor.
-MPN PRESS-

No comments: