Wednesday, January 12, 2011

The Introduction...

PENGENALAN MPN UNISEL
                   Majlis Perwakilan Nuqaba’, Universiti Industri Selangor (UNISEL) ditubuhkan secara rasmi pada 18 Mei 2010 di bawah Unit Usrah dan Latihan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UNISEL. Penubuhan ini merupakan satu usaha bagi melahirkan mahasiswa yang produktif, kondusif dan inovatif serta membangunkan sahsiah dalam kalangan mahasiswa UNISEL. Barisan ahli Majlis Perwakilan Nuqaba’ (MPN) juga akan terlibat secara langsung dalam membantu dan menyelaras mana-mana program sama ada anjuran Hal Ehwal Pelajar, atau mana-mana Jabatan UNISEL mahupun Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.
                   Matlamat utama penubuhan MPN UNISEL adalah untuk mempertingkatkan bakat kepimpinan dan kepemimpinan mahasiswa menerusi penglibatan mereka di dalam organisasi pengurusan dan program-program pembangunan insan. Ahli MPN UNISEL akan dilatih untuk berhadapan dengan masyarakat selain membina kemampuan diri untuk berorganisasi dan memperkukuhkan kerohanian masing-masing. Semua gerak kerja MPN UNISEL adalah sepenuhnya di bawah pengurusan mahasiswa, dan ini secara langsung dapat melatih mahasiswa agar berdikari dan bertanggungjawab selain mendedahkan mereka dengan gerak kerja berkumpulan dan kepatuhan kepada pemimpin. MPN UNISEL juga terlibat secara langsung dalam mengendalikan slot Diskusi Dinamik di dalam kumpulan-kumpulan Usrah untuk pelajar yang mengambil subjek Kokurikulum (ZKU 1112).
                   Penstrukturan semula Bahagian Hal Ehwal Pelajar pada pertengahan tahun 2010 telah menyaksikan perubahan terhadap kedudukan MPN UNISEL yang kini bertapak di bawah Pusat Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Industri Selangor. Penstrukturan ini secara tidak langsung melancarkan lagi gerak kerja MPN UNISEL dalam melatih mahasiswa UNISEL khususnya pelajar ZKU 1112 untuk mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan. Walaupun usia MPN masih muda dan baru di kampus ini, MPN tetap bergerak pantas membina organisasi Islam yang sistematik dan terbimbing agar perancangan dan gerak kerja dapat direalisasikan dan penyatuan umat Islam dapat dilaksanakan, InsyaAllah.

No comments: